PM Selar Tindakan Pembangkang Jatuhkan Negara

Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Razak menyelar tindakan memalukan ahli politik pembangkang yang cuba menjatuhkan negara dengan kenyataan tidak berasas demi kepentingan peribadi.

Perdana Menteri berkata, mereka tidak pernah membawa kisah kejayaan program yang kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) laksanakan yang sememangnya memberi banyak manfaat kepada rakyat.

Bagi mereka, program seumpama itu tidak wujud sehingga menyebabkan tindakan ahli politik itu memberi kesan terhadap kehidupan rakyat di negara ini.

“Pihak pembangkang sering membuat tuduhan liar, tetapi slogan dan janji mereka yang diberikan kepada rakyat kosong.

“Bagaimanapun, kerajaan dan GLC yang bertaraf dunia akan terus memberi perkhidmatan kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan dan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 UEM Group Berhad (UEM Group) di sini, hari ini.

Najib berkata, Malaysia bukan saja melaksanakan projek infrastruktur terbesar seperti Transit Aliran Ringan (LRT), malah turut membantu pelajar yang tidak dapat meneruskan pelajaran di universiti.

Katanya, peniaga kecil yang mahu melangkah ke peringkat seterusnya juga turut dibantu dengan sokongan daripada bank SME.

“Selain itu, kita juga mahu menyasarkan Malaysia menjadi antara 20 negara terbaik seluruh dunia dalam bidang pembinaan dan kejuruteraan menjelang tahun 2050.”

Justeru, semua syarikat pembinaan di seluruh Malaysia perlu bekerja kuat bagi merealisasikan perkara berkenaan supaya dapat bersaing dengan syarikat gergasi negara lain,” katanya.

Beri komen Anda

Komen

Anda mesti mendaftar untuk memberi komen masuk